SRI AMAN: Penguasaan bahasa Inggeris amat penting sekiranya generasi muda mahu melangkah lebih jauh di peringkat global dan menempatkan diri dalam dunia pekerjaan pada hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato Masir Kujat berkata, golongan pelajar juga perlu melihat penguasaan bahasa Inggeris yang baik sebagai satu kemahiran yang perlu ada sekiranya bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sehingga ke luar negara.
“Keupayaan bertutur dalam bahasa Inggeris bukan sahaja membuka peluang kerjaya yang cerah malah dapat menonjolkan diri dan melontarkan pandangan kepada masyarakat dunia,” katanya ketika merasmikan Program Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Sri Aman itu berkata, dengan perkembangan teknologi masa kini, pembelajaran bahasa dan linguistik dianggap mudah dan boleh diikuti secara luar konvensional.
“Internet menjadi platform penting dan efektif yang memudahkan sesiapa sahaja belajar bahasa asing secara percuma,” katanya.
Masir turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau penggunaan telefon pintar dan internet di kalangan anak masing-masing agar mereka tidak menyalahgunakannya dengan perkara yang boleh merosakkan diri.
“Kemajuan teknologi pada masa ini membolehkan maklumat dicapai dengan begitu cepat sekali.
“Kemudahan ini harus kita manfaatkan dengan perkara yang boleh memajukan diri dari sudut yang positif,” jelasnya.
Pada majlis itu Masir turut mengumumkan peruntukkan Projek Mesra Rakyat (PMR) berjumlah RM50,000 untuk membina dewan SK Tanjung Bijat, RM5,000 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit dan RM5,000 lagi untuk PIBG SK Bakong, selain menyerahkan cek peruntukan berjumlah RM50,000 kepada Tadika Tunas Harapan Tanjung Bijat dan menyempurnakan upacara penyampaian sijil tokoh guru di situ. – dayakdaily.com