Kualiti bendera Ibu Pertiwi ditingkatkan, elak kejadian berulang – Dr Abdul Rahman

Dr Abdul Rahman ketika ditemui di Dataran Ibu Pertiwi pada Sep 8, 2024. Foto Kredit: Ukas
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 Sep: Kualiti bendera Ibu Pertiwi ditingkatkan selepas berlaku kejadian angin kencang minggu lepas yang mengakibatkan bendera tersebut jatuh.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, bendera baharu akan dinaikan setiap bulan dan pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan memastikan ia berkualiti.

Advertisement

“Kita mengambil contoh bahan untuk bendera Jalur Gemilang di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur dan juga beberapa negara-negara lain termasuk di Istanbul.

“Bendera Ibu Pertiwi kita ditempah dari negara China,” kata Dr Abdul Rahman merangkap Menteri Bertanggungjawab DBKU.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi di Dataran Ibu Pertiwi di sini, hari ini.

Uggah (berdiri lima dari kanan) di upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi pada Sep 8, 2024. Foto Kredit: Ukas

Upacara telah disempurnakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Berhubung kejadian luar jangka minggu lepas, Dr Abdul Rahman berkata ia berlaku disebabkan kabel putus dan telah digantikan dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, Uggah memaklumkan bahawa upacara yang diadakan pada setiap bulan itu adalah kebanggaan Sarawak.

Katanya, ia adalah anjuran pihak DBKU dan merupakan satu acara tarikan pelancong.

“Kita ada satu mercu tanda yang istimewa, iaitu tiang bendera paling tinggi di Malaysia,” kata Uggah.

Turut hadir Datuk Bandar DBKU Hilmy Othman. — DayakDaily

Advertisement