Kru bot nelayan dikhuatiri terjatuh laut di perairan Igan

Lokasi di mana mangsa dilaporkan terjatuh.

KUCHING, 11 April: MRSC Kuching, Sarawak telah mengaktifkan operasi Perkhidmatan Mencari dan Menyelamat (Carilamat) di perairan Igan berikutan laporan kejadian seorang kru bot nelayan yang disyaki jatuh laut hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching telah menerima maklumat daripada Balai Polis Ulu Lanang menyatakan seorang kru bot nelayan tempatan dipercayai jatuh laut awal pagi tadi, pada jarak lebih kurang 19 batu nautika dari Kuala Igan.

Menurutnya, rakan mangsa menelefon majikan menyatakan bahawa mangsa dikhuatiri telah jatuh dari bot dan menyedari mangsa hilang serta tiada di atas bot pada jam 8 pagi tadi.


“Mangsa, 28, warga tempatan dikatakan kali terakhir memakai baju warna biru dan berseluar pendek hitam.

“Setakat jam 7.30 malam tadi, tiada sebarang petunjuk ditemui dan pencarian memfokuskan di sekitar posisi terakhir mangsa dipercayai jatuh laut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544. — DayakDaily