Sekeluarga diarahkan berpindah kerana khuatir rumah runtuh di Tatau

Anggota Bomba sedang memantau keadaan rumah mangsa.

TATAU, 11 April: Sebuah keluarga diarahkan berpindah apabila rumah didiami mereka dikhuatiri runtuh akibat angin kencang, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak menerima laporan berhubung kerosakan rumah tersebut di Rumah Merayang Nanga Malat, Ulu Anap, di sini pada jam 11.07 pagi.

Susulan itu, beberapa anggota dari balai Bomba berhampiran terus ke lokasi kejadian untuk pemantauan.


“Pihak bomba membuat pemantauan di sekeliling rumah mangsa dan mendapati rumah tersebut tidak dapat didiami buat sementara waktu atas faktor keselamatan penghuni rumah.

“Bomba menasihati agar mangsa bersama keluarga untuk tinggal di rumah saudara mara terdekat buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2 petang.

Difahamkan, permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk kerja-kerja pembaikan rumah sedang diusahakan. — DayakDaily