KABONG, Mei 22: Penduduk di sekitar Kabong di sini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM6.5 juta dalam usaha menyelesaikan krisis bekalan air bersih dalam jangka masa singkat di kawasan berkenaan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan yang disalurkan itu adalah bagi membina saluran paip pintasan dari simpang Roban hingga simpang Sungai Nyiar di sini.
Jelas beliau, saluran paip tersebut akan disambung terus ke saluran paip utama ke Kabong.
“Saya yakin projek pembinaan paip pintasan ini akan siap dalam tempoh kira-kira sebulan.
“Pelaksanaan projek ini perlu disegerakan kerana masyarakat setempat akan menyambut Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya selepas mengadakan lawatan mengejut ke Loji Rawatan Air Kabong di sini semalam.
Abang Johari menegaskan, kerajaan negeri juga sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi mengatasi masalah bekalan air di situ dalam jangka masa panjang.
Katanya, bagi memastikan projek itu siap segera, tiga kontraktor telah dilantik bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan saluran paip pintas berbanding satu kontraktor sebelum ini.
“Saya berharap projek ini siap segera kerana krisis bekalan air ini amat membebankan masyarakat setempat,” katanya. — DayakDaily