Pemandu van sewa cemas diserang dua lelaki warga Indonesia

Keadaan mangsa yang cedera dipukul dua lelaki warga Indonesia.

MARUDI, Mei 22: Seorang pemandu van sewa cedera selepas diserang oleh dua lelaki warga Indonesia dalam satu kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di sini semalam.

Menurut sumber, kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu mengakibatkan pemandu van yang berusia 64 cedera di anggota badannya.

Kata sumber, sebelum kejadian itu, mangsa telah membawa dua lelaki warga Indonesia tersebut ke sebuah ladang sawit berdekatan Taman Negara Loagan Bunut di sini.


“Apabila menurunkan dua penumpang itu, lelaki warga emas terbabit telah meminta tambang daripada kedua-dua warga asing berkenaan.

“Namun, berlaku perselisihan faham antara mereka dipercayai akibat tambang van tersebut sebelum pemandu itu dipukul oleh kedua-dua suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Keadaan van sewa mangsa yang turut diserang suspek.

Sumber menambah, kejadian itu turut mengakibatkan cermin van sewa mangsa pecah.

Katanya, mangsa yang berjaya melarikan diri kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Beluru bagi mendapatkan rawatan.

“Buat masa ini, pihak polis sedang memburu kedua-dua warga Indonesia itu,” katanya. — DayakDaily