KPDNHEP: Tiga kes kesalahan jual minyak masak dalam talian setakat September 2022

Azman Adam (file pic)

KUCHING, 21 Sept: Tindakan telah diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan berkaitan penjualan minyak masak secara dalam talian di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam, ia melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,564.90 dan bagi tempoh tahun ini iaitu sehingga 19 September 2022.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan berhubung penjualan minyak masak secara dalam talian pada tahun ini, sebanyak 55 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara, manakala sebanyak 9 aduan yang berkaitan telah diterima dalam tempoh yang sama.


“Daripada jumlah itu, tiga tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azman, antara kesalahan yang dikesan adalah berurusniaga secara borong dan runcit barang kawalan berjadual.

Ini melibatkan minyak masak tanpa lesen yang sah dan menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan.

Ujar beliau, KPDNHEP telah bekerjasama dengan penyedia tapak pasar secara dalam talian dalam negara seperti Shopee, Lazada, Mudah.my dan Grabmart.

“Hasil kerjasama terbabit, sebanyak 121 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak secara dalam talian telah dinyahturun pada tahun ini sehingga 19 September 2022,” katanya. — DayakDaily