KPDNHEP tahan lelaki jual pelitup muka tiruan secara atas talian

Pelitup muka tiruan tanpa jenama dibungkus semula menggunakan kotak jenama Cross Protection.

KUCHING, 1 Julai: Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan kerana disyaki menjual pelitup muka tiruan secara dalam talian menerusi premisnya di Puchong, Selangor.

Suspek ditahan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu operasi pada Isnin (29 Jun) lepas.

“Hasil daripada risikan yang dijalankan mendapati suspek disyaki membeli pelitup muka tanpa jenama daripada China dan membuat pembungkusan semula menggunakan kotak jenama Cross Protection.


“Suspek menggunakan laman sosial Facebook untuk mengiklankan penjualan pelitup muka.

“Kaedah penjualan adalah melalui pesanan aplikasi WhatsApp dan barang dihantar melalui pos atau melalui kaedah ‘Cash On Delivery’ (COD) di sekitar kawasan Lembah Klang,” menurut Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim menerusi satu kenyataan hari ini.

Hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas premis tersebut menemukan sejumlah 35 kotak jenama Cross Protection yang mengandungi pelitup muka disyaki tiruan.

Kesemua barangan tersebut telah dirampas dan suspek telah ditangkap untuk membantu siasatan.

Menurut Iskandar, permohonan reman ke atas suspek berkenaan telah dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan mahkamah telah membenarkan permohonan reman selama empat hari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakai dengan salah.

Nilai rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM 1,575. — DayakDaily