Rumah pekerja kilang ayam di Sibu musnah terbakar

Kelihatan anggota bomba sedang memadam kebakaran.

KUCHING, 1 Julai: Satu deret rumah pekerja kilang ayam di Jalan Siong, Sibu musnah dijilat api pada satu kejadian kebakaran awal pagi ini.

Semasa kejadian, kesemua 20 orang penghuni yang merupakan warga Indonesia berjaya keluar menyelamatkan diri.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 2.20 pagi.


Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.30 pagi dan rumah dengan struktur tidak kekal itu musnah 90 peratus.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily