KPDNHEP: Syarikat aktiviti perdagangan pengedaran perlu mendapatkan surat notifikasi pengesahan pendaftaran

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

KUCHING, 12 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan pengedaran untuk mendapatkan surat notifikasi pengesahan pendaftaran.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini bagi memastikan tiada sebarang halangan atau sekatan pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sehubungan dengan itu, syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran boleh memohon surat notifikasi pengesahan pendaftaran.


“Ia boleh dilakukan dengan mengakses portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS), MITI melalui pautan https://notification.miti.gov.my,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Nanta lagi, syarikat-syarikat sektor perdagangan dan pengedaran yang belum berdaftar dengan CIMS boleh berbuat demikian melalui pautan https://notification.miti.gov.my.

Surat notifikasi pengesahan pendaftaran boleh dimuat turun oleh syarikat selepas pendaftaran.

Beliau mengingatkan agar pihak syarikat yang dibenarkan beroperasi turut memastikan hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat.

Manakala pekerja dalam kumpulan sokongan/operasi akan ditentukan oleh majikan masing-masing serta memastikan pematuhan SOP yang ketat.

“KPDNHEP akan sentiasa memastikan rangkaian peruncitan, pengedaran dan pemborongan yang merupakan nadi kepada ekonomi domestik tidak terjejas.

“Ini sekaligus dapat memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia mendapatkan bekalan barangan keperluan asas di pasaran,”ujar beliau.

Sektor perdagangan dan pengedaran salah satu daripada lima sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari 2021 telah mengumunkan perlaksanaan PKP untuk tempoh bermula 13 Januari 2021 hingga 26 Januari 2021.

PKP tersebut melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, Melaka, Johor dan Sabah. — DayakDaily