KPDNHEP: Program pengedaran barang perlu diperluas ke 119 lokasi baharu

Kelihatan Nanta menjawab soalan semasa temubual 'Bicara Naratif-Belanjawan KPDNHEP: Impak Kepada Ekonomi Dan Rakyat' di Angkasapuri, baru-baru ini.

KUCHING, 25 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima tambahan RM50 juta bagi meneruskan inisiatif Pelaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan ‘Community Drumming’.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini menjadikan keseluruhan peruntukan berjumlah RM200 juta.

“Pelaksanaannya bakal diperluaskan ke 119 lokasi baharu di 34 zon di seluruh negara, termasuk Pulau Sakar di Sabah, Ulu Mujok di Sarawak dan Pulau Redang di Terengganu.


“Program telah memberi manfaat kepada lebih 1.1 juta penduduk pendalaman dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual ‘Bicara Naratif-Belanjawan KPDNHEP: Impak Kepada Ekonomi Dan Rakyat’ di Angkasapuri, baru-baru ini.

Menurut Nanta, inisiaitif itu membolehkan penduduk mendapatkan tujuh barangan keperluan harian, termasuk LPG, petrol RON95 dan diesel mengikut ketetapan harga oleh kerajaan seperti di bandar.

Katanya, ia dilaksanakan melalui khidmat ‘transporter’ tempatan dilantik yang akan membeli barangan keperluan itu.

Ia seterusnya dihantar ke pusat jualan di lokasi pengedaran, termasuk kedai runcit untuk dijual pada harga dikawal kerajaan.

Menurut Nanta, keseluruhannya terdapat 163 ‘transporter’ dalam melaksanakan inisiatif itu tahun ini.

Ujar beliau, ia melibatkan 691 lokasi pengedaran sedia ada di empat negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan dengan peruntukan RM150 juta.

Dalam pada itu, tambah beliau, KPDNHEP turut melaksanakan Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan.

Ini bagi menstabilkan harga serta bekalan barangan keperluan, khususnya di pekan kecil, kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Untuk 2021, RM40 juta diperuntukkan bagi membiayai inisiatif ini, menyaksikan pertambahan peruntukan RM20 juta berbanding Belanjawan 2021.

“Ini memperlihatkan betapa pentingnya usaha mengawal kenaikan harga barang kawalan di pasaran seperti minyak masak, tepung gandum dan gula.

“Malah turut memastikan harga barang kawalan di Sabah, Sarawak dan Labuan sama seperti di Semenanjung,” katanya. — DayakDaily