KPDNHEP Miri menerima 303 aduan tahun ini

Ketua KPDNHEP cawangan Miri Joe Azmi (hadapan) bersama anggotanya melakukan pemeriksaan harga barangan sempena musim perayaan Krismas di Boulevard Hypermarket Miri.

Oleh: Brad Rantayy

MIRI, 22 Dis: Unit Aduan Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Miri menerima 303 aduan sejak 1 Januari sehingga semalam (21 Disember) bagi tahun ini.

Ketua KPDNHEP cawangan Miri Joe Azmi Jamil berkata daripada jumlah itu sejumlah 301 aduan sudah selesai disiasat dan sebahagian besar membabitkan isu transaksi dalam talian, penipuan perkhidmatan dan perihal harga.


Joe Azmi ditemui ketika mengadakan ‘walkabout’ atau pemeriksaan sempena skim harga musim perayaan Krismas 2020 pada pagi Selasa (22 Disember) di Boulevard Hypermarket dan Departmental Store (The Imperial Mall).

Dalam pada itu sepanjang tempoh 1 Januari sehingga semalam (21 Disember), KPDNHEP cawangan Miri telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM63,100.00 yang membabitkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga; perihal harga; cetak rompak; transaksi dalam talian; penipuan perkhidmatan; dan barang tiruan, manakala nilai rampasan adalah melibatkan jumlah sebanyak RM503,809.80.

Sepanjang tempoh itu juga pihak KPDNHEP Miri telah melakukan pemeriksaan terhadap premis-premis di dalam bandar dan luar bandar.

“Sebanyak 5,304 premis dalam bandar telah diperiksa sepanjang tempoh Januari sehingga semalam, manakala di kawasan luar bandar, 1,908 premis telah diperiksa,” ujar Joe Azmi.

Untuk bekalan musim perayaan Krismas di Miri, Joe Azmi berkata, bekalan dan keperluan asas adalah mencukupi. — DayakDaily