KPDNHEP lancar Program Citarasa Malaysia@Bumi Kenyalang di Kuching

Nanta (tiga dari kiri) merasmikan Program Citarasa Malaysia@Bumi Kenyalang di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 Julai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini melancarkan Program Citarasa Malaysia@Bumi Kenyalang di Vivacity Megamall Kuching.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu syarikat-syarikat dan usahawan-usahawan tempatan dalam memasarkan produk mereka.


“Ia juga berkesan bagi mewujudkan lebih banyak permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan keluaran tempatan.

“Program ini menyeru para pengguna di negara ini supaya mengutamakan pembelian barangan buatan Malaysia.

“Ia seterusnya dapat merancakkan kembali sektor peruncitan dan mengembalikan permintaan pasaran dalam negara khususnya selepas tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) akibat pandemik Covid-19,” katanya pada ucapan pelancaran.

Program Citarasa Malaysia@Bumi Kenyalang merupakan sub-program Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang diadakan di seluruh negara di sepanjang tahun ini.

Menurut Nanta, kempen untuk merancakkan ekonomi domestik perlu dipergiat kerana cabaran globalisasi perniagaan kini banyak menyumbang kepada pembelian barangan dari luar negara.

Justeru katanya, langkah kerajaan untuk memperkasakan perbelanjaan dalam negara menerusi inisiatif seperti KBBM dan Kempen Jualan Malaysia adalah tepat.

“KBBM adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menangani isu kos sara hidup rakyat yang juga menjadi antara fokus utama inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan,”ujar Nanta.

Pada tahun 2019, nilai jualan keseluruhan yang dicatatkan bagi KBBM adalah berjumlah RM513 juta, iaitu peningkatan sebanyak 23.3 peratus daripada tahun 2018.-DayakDaily.