KPDNHEP kuatkuasa operasi berkaitan LPG

Azman Adam (file pic)

KUCHING, 3 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus melaksanakan operasi berkaitan barang kawalan gas memasak (LPG) secara berterusan di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Azman Adam berkata, ia untuk memastikan peniaga mematuhi perundangan-perundangan khususnya harga jualan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, bagi tempoh 18 Feb 2020 hingga 1 Mac 2021, KPDNHEP telah menerima sejumlah 316 aduan dari pengguna berhubung aktiviti perniagaan barang kawalan LPG di seluruh negara.

“Sehubungan itu, kementerian telah mempertingkatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas peniaga dan pemborong barang kawalan LPG.

“Antara objektif utama operasi ini adalah bagi memastikan bekalan barang kawalan tersebut mencukupi di pasaran dan harga stabil sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azman, penguatkuasaan digerakkan melalui pelbagai bentuk tindakan seperti melakukan pemeriksaan mengejut dan uji beli di premis yang diperiksa.

Fokus pemeriksaan, katanya, juga untuk memastikan peniaga meletakkan tanda harga mengikut harga kawalan yang telah ditetapkan pada barang kawalan LPG yang hendak dijual.

“Memastikan peniaga menjual barang kawalan LPG mengikut harga yang ditetapkan.

“Memastikan peniaga menyata dengan jelas dalam meletakkan caj bagi perkhidmatan penghantaran barang kawalan LPG kepada pengguna.

“Lain-lain tindakan termasuk (memastikan) peniaga mempunyai lesen menjual barang kawalan LPG, menyimpan barang kawalan LPG mengikut had ditetapkan oleh kerajaan dan menyelenggara buku stok,” ujarnya.

Menurut Azman, sejak 18 hingga 24 Februari 2021 sejumlah 1,003 premis telah diperiksa dan menghasilkan 60 kes dengan nilai sitaan RM3,5373.20 dan kompaun RM22,000. — DayakDaily