KUCHING, Mei 22: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan keseluruhannya sebanyak 137 kes peniaga di seluruh Sarawak telah dikesan melakukan kesalahan yang berkaitan alat timbang digunakan mereka dari 1 Januari sehingga 16 Mei tahun ini.
Pengarah KPDNHEP Sarawak, Datuk Stanley Tan mendedahkannya kesalahan tersebut merangkumi mengunakan alat timbang yang tidak memberikan ukuran tepat atau tiada pelekat menunjukkan alat terbabit sudah ditentusahkan atau pelekat itu sudah tamat tempohnya yang selama setahun.
“Setakat ini ada keseluruhanya ada sebanyak 137 kes ( berkaitan kesalahan alat timbang digunakan peniaga) seluruh Sarawak dengan jumlah nilai rampasan (alat timbang) sebanyak RM68,725.50 dan nilai kompaun (terhadap peniaga terbabit) sebanyak RM27, 950 selama tempoh dari 1 Januari sehingga 16 Mei tahun ini,”katanya selepas acara Pemeriksaan Walkabout KPDNHEP Sarawak 2019 Bersama Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) dan Metrology Corporation Malaysia (MCM) dan Program Stamping Point Alat Timbang Sukat di Medan Niaga Satok, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Tan berkata peniaga yang melakukan kesalahan berkaitan alat timbang itu dikenakan tindakan dibawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan mendedahkan ramai peniaga terbabit telah memberikan alasan yang mereka samada tidak tahu atau terlupa tentang undang-undang yang berkaitan alat terbabit.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai di negeri ini supaya memastikan mereka membeli barangan dari peniaga di pasar atau kedai runcit yang mengunakan alat timbang yang sudah ditentusahkan sahaja dan mempunyai pelekatnya ada tertera pada alat terbabit bagi mengelakkan ditipu peniaga.
Katanya pelekat terbabit menunjukkan tempoh sahnya yang setahun, nombor siri pelekat dan kapasiti berat ditimbang dengan peniaga yang mengguna atau memiliki alat timbang tanpa pelekat itu atau tidak ditentusahkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM40,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau keduanya serta alat timbang terbabit akan dirampas dibawah Akta Timbang dan Sukat 1972 Seksyen 14 (6).
“Kami juga mengadakan acara walkabout hari ini di pasar Medan Niaga Satok ini bagi memeriksa alat timbang yang digunakan peniaganya samada sudah ditentusahkan atau tidak dan juga ukuran beratnya adalah tepat atau tidak,” katanya.
Beliau mengesahkan tiada mengesan peniaga pasar Medan Niaga Satok melakukan kesalahan berkaitan alat timbang ketika acara itu dan pihaknya turut membawa pihak MCM bagi memudahkan peniaga di sana menentusahkan alat timbang mereka.
“Ini lokasi pertama acara ini, kami selepas ini juga akan melakukan acara ini ditempat lain kalau MCM boleh membuka kaunter bagi peniaga menentusahkan alat timbang mereka termasuk pasar Stutong,”katanya.
Selain Akta Timbang dan Sukat 1972, dari 1 Januari hingga 16 Mei lepas, KPDNHEP di Sarawak juga mengesan sebanyak 323 kes peniaga melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dengan nilai rampasan sebanyak RM54,508.40 dan kompaun sebanyak RM 38,350.
Selain itu sebanyak 69 kes peniaga dikesan melakukan kesalahan dibawah Akta Perihal Dagangan 2011 dengan nilai rampasan sebanyak RM2,835,426.36 dan kompaun sebanyak RM14,050.
Manakala sebanyak 41 kes peniaga melakukan kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan sebanyak RM3,425,698.88 disamping sebanyak 16 kes peniaga melakukan kesalahan dibawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dengan nilai rampasan sebanyak RM4,885.49 dan nilai kampaun sebanyak RM1,000. — DayakDaily