KUCHING, 30 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menghargai keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup Keluarga Malaysia melalui peruntukan besar RM31 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif.
Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Belanjawan 2022 yang dibentangkan semalam kekal dengan tiga fokus induk iaitu rakyat yang sejahtera, perniagaan yang berdaya tahan dan ekonomi yang makmur dan mampan.
Katanya, kementerian sedia menggalas amanah yang diberikan untuk melaksanakan bajet yang telah diperuntukkan kepada kementerian ini melalui program-program yang sedang dan akan dijalankan.
“Walaupun semua itu bukan di bawah kawal selia KPDNHEP sepenuhnya, tetapi kementerian ini akan memastikan semua program-program yang menjurus kepada meringankan kos sara hidup ahli Keluarga Malaysia akan terus dilaksanakan.
“Ia seperti program-program pengedaran barang perlu, LPG dan Community Drumming bernilai RM200 juta, program penyeragaman harga Sabah, Sarawak dan Labuan bernilai RM40 juta.
“Program penstabilan harga minyak masak (RM400 juta) dan program subsidi tepung gandum kegunaan am(RM40 juta),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nanta, Kerajaan telah merangka program-program bagi merancakkan semula industri ini dengan membantu Pengusaha Kecil Sederhana (PKS) meningkatkan jualan produk buatan Malaysia.
Ujar beliau, KPDNHEP akan meneruskan program-program yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing perdagangan domestik melalui peruntukan yang diberi.
“Ini termasuk Kempen Beli Barangan Malaysia berjumlah RM20 juta, Program Jualan Malaysia(RM10 juta), Program Francais dan Industri Jualan Langsung(RM3 juta) dan Program Keusahawanan Kesinambungan bernilai RM1 juta,” katanya. — DayakDaily