Stadium Mini Balai Ringin landasan cungkil bakat baru sukan negeri, kata Snowdan

Snowdan merasmikan Program Kecergasan Gaya Hidup Sihat Dan Cergas 2021

Oleh Chris Bishop

BALAI RINGIN, 30 OKT: Menteri Muda Belia Dan Sukan Datuk Snowdan Lawan mahukan Stadium Mini Balai Ringin yang sedang dalam pembinaan menjadi landasan untuk mencungkil bakat baru dalam bidang sukan di negeri ini.

Katanya, Sarawak memerlukan barisan atlet muda sebagai pelapis yang bakal menggalas tanggungjawab mewakili negeri bersaing di peringkat kebangsaan di masa hadapan.


“Saya telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Dr Ong Kong Swee untuk memastikan stadium ini nanti dijadikan pusat untuk mencari atlet baru.

“Saya yakin ada golongan belia di kawasan sekitar memiliki bakat di dalam pelbagai bidang sukan seperti larian, lontar peluru, bolasepak, futsal dan sebagainya.

“Jaguh kampung ini jika diasah sebaiknya boleh menjadi jaguh negeri seterusnya menjadi jaguh kebangsaan dan menjadi jaguh dunia satu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Program Kecergasan Gaya Hidup Sihat Dan Cergas 2021 di Depo Balai Ringin yang dianjurkan Jabatan Belia Dan Sukan hari ini.

Stadium Mini Balai Ringin dibina dengan kos RM15 juta dijangka siap pada tahun 2022.

Ia memiliki trek larian bersaiz antarabangsa, padang bolasepak, padang futsal manakala dewan pula menempatkan gelanggang badminton dan sepak takraw.

Tambah Snowdan yang juga ADUN Balai Ringin, Sarawak mesti memiliki barisan atlet pelapis yang mantap untuk terus mendominasi acara sukan di peringkat kebangsaan seperti di tahun-tahun lepas.

Beliau yakin jaguh kampung juga boleh diasah untuk menjadi jaguh dunia seperti yang dipamerkan Ratu Terjun Negara Datuk Pandelela Rinong.

“Setiap jaguh sukan kita tidak terus kekal selama-lama, contohnya Jaguh Badminton Datuk Lee Chong Wei, (Datuk) Pandalela dan pelari pecut Watson Nyambek.

“Saya yakin ramai belia kita yang diam di luar bandar mempunyai bakat dan boleh menjadi jaguh dunia pada masa hadapan,” katanya.

Untuk tujuan tersebut, Snowdan mahukan Stadium Mini Balai Ringin nanti menganjurkan pelbagai pertandingan sukan khususnya peringkat sekolah.

Katanya, terdapat lebih 60 buah sekolah di kawasan Samarahan Balai Ringin dan Sri Aman yang boleh mendapat manfaat dari stadium tersebut. — DayakDaily

 

Snowdan mencuba mesin kercegasan pada program yang diadakan di Depo Balai Ringin.