KPDNHEP fokus banteras aktiviti penyeludupan barangan di sempadan Serikin

Diesel gauge. — DayakDaily. com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 23 Okt: Kerajaan beri tumpuan kepada mekanisme untuk membanteras aktiviti penyeludupan barang kawalan bersubsidi di sempadan Serikin di Bau.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof, ia melibatkan barangan seperti gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, petrol, diesel, gula dan tepung gandum.

“Isu penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi di sempadan antarabangsa Malaysia yang terdiri daripada negara Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura merupakan salah satu perkara utama yang menjadi perhatian Kementerian,” katanya dalam satu kenyataan.


Tambah Azman, berdasarkan statistik penguatkuasaan pada tahun 2022 bermula 1 Januari 2022 sehingga 30 September 2022 sebanyak 427 kes penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi di pintu-pintu sempadan negara di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah berjaya dipatahkan di seluruh negara.

Katanya, ia melibatkan nilai rampasan berjumlah RM69.74 juta.

“KPDNHEP memandang serius isu ketirisan barang kawalan dan bersubsidi yang berlaku kerana ianya boleh mengakibatkan kerugian yang besar kepada negara.

“Barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia telah diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ke negara jiran demi mengaut keuntungan lumayan dengan melakukan aktiviti haram ini,” katanya.

Azman telah mengadakan lawatan kerja di Pos Kawalan Sempadan Serikin di Bau hari ini. — DayakDaily