KPDNHEP bersama Polis Marin tumpaskan cubaan seleweng minyak diesel di Roban

Pemeriksaan dilakukan di lokasi serbuan.

ROBAN, 27 April: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sri Aman menumpaskan cubaan penyelewengan minyak diesel bersubsidi hasil satu kes serahan daripada agensi pihak Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarikei.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Sri Aman Al Redzamani Abdul Razak berkata satu serbuan dilakukan PPM di sebuah tapak pembinaan di Roban, Saratok pada 25 April (Isnin).

Katanya, serbuan dilakukan selepas mendapati terdapat sebuah lori sedang mengisi minyak di tapak pembinaan tersebut.

“Polis Marin kemudian meminta pengurus tapak mengemukakan sebarang surat kebenaran atau lesen dan permit daripada pihak KPDNHEP walaubagaimanapun gagal mengemukakan nya.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 9800 liter di dalam skid tank yang anggarannya bernilai lebih RM 21,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Seterusnya minyak diesel, lori, tangki minyak, kunci lori, nozel dan pump meter telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

“Seorang lelaki warga tempatan berumur 59 tahun yang mengaku sebagai Pengurus Projek telah diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Ini bagi mengenalpasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada pembekal sehinggalah ke peringkat pembeli,” katanya.

KPDNHEP ingin memberikan amaran keras ke atas mana-mana pengusaha stesen minyak atau mana-mana syarikat pemborong sekitar Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong termasuk Daerah Saratok ini agar mematuhi perundangan.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen mana-mana stesen minyak atau mana-mana syarikat pemborong yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan minyak diesel bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui WhatsApp 019-2794317 / 019-8488000, Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800 atau emel
e-aduan@kpdnhep.gov.my. — DayakDaily