Penarikbalikan pemakaian pelitup muka, tunggu pengumuman JPBNS – Datuk Bandar

Wee (empat dari kiri) pada Pengagihan Bubur Lambuk MBKS di Surau Darul Akhirat.

KUCHING, 27 April: Orang ramai digesa menunggu keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berhubung penarikbalikan perintah pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka mulai 1 Mei oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng berkata, keputusan muktamad adalah ditangan JPBNS.

“Kita perlu menunggu pengumuman JPBNS, saya harap mereka dapat bertindak dengan segera berhubung isu ini.


“Tetapi saya tetap menggalakan orang ramai untuk terus memakai pelitup muka dimana sahaja mereka berada,”

Wee berkata demikian ketika ditemui pada Pengagihan Bubur Lambuk MBKS Sempena Bulan Ramadan di Surau Darul Akhirat, Jalan Lumba Kuda di sini, hari ini.

Pada program itu, sebanyak 300 bubur lambuk dan 2,000 pelitup muka telah diserahkan kepada penduduk di sekitarnya.

Hari ini, KKM memutuskan pemakaian pelitup muka di luar bangunan (outdoor), tidak lagi diwajibkan bermula 1 Mei ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu  mengurangkan penularan jangkitan.

Namun, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan (indoor), dan di dalam pengangkutan awam termasuk eHailing. – DayakDaily