KPDNHEP: 8 kertas siasatan dibuka ke atas peniaga-peniaga ayam

Image by Free-Photos from Pixabay

KUCHING, 11 JULAI: Sebanyak 8 kertas siasatan telah dibuka ke atas peniaga-peniaga ayam kerana disyaki melakukan kesalahan berhubung kenaikan harga ayam sehingga 10 Julai 2020.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal
Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, kes melibatkan 4 peruncit pasar awam di Melaka serta 4 pemborong iaitu 1 di Melaka dan 3 di Kuala Lumpur.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan(AKHAP) 2011,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Menurut beliau, KPDNHEP telah melaksanakan pemeriksaan setelah menerima maklumat berhubung aduan orang ramai yang telah menyatakan berlakunya kenaikan harga ayam di pasar pasar basah awam.

Katanya, pemeriksaan adalah untuk mengenal pasti peringkat rantaian pembekalan yang memulakan punca kenaikan tersebut serta mengesan sekiranya wujud aktiviti pencatutan di bawah perundangan AKHAP 2011.

“Tindakan pemeriksaan tersebut telah mula dilaksanakan pada 18 Jun 2020 oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP seluruh negara ke atas peruncit di pasar-pasar awam, pemborong serta pengeluar ayam.

“Secara keseluruhannya sehingga 30 Jun 2020, sebanyak 353 premis telah diperiksa yang terdiri daripada 280 peruncit, 50 pemborong dan 23 pengeluar serta penternak ayam,” ujar Iskandar.

Sementara itu tambah beliau, sebanyak 310 premis telah dikemukakan notis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 bagi mendapatkan maklumat awal kenaikan harga yang berlaku.

Manakala 286 daripada jumlah notis tersebut akan diteruskan pemeriksaan untuk mendapatkan perincian maklumat bagi tujuan siasatan di bawah pencatutan, jelas beliau.—DayakDaily