KP JPJ: Perbaharui lesen memandu, cukai jalan dalam tempoh PKPP

Traffic. — DayakDaily file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Jun 17: Pengguna jalan raya disarankan memperbaharui lesen memandu Malaysia (LLM) dan lesen kenderaan motor(cukai jalan) yang sudah tamat tempoh sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tamat.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, ini bagi mengelakkan berlaku kesesakan di kaunter JPJ di seluruh negara sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk tidak menyambung pelaksanaan PKPP yang dijadual berakhir pada Ogos 31 nanti.

“Setakat ini lebih 2.18 juta lesen memandu dan 2.11 juta cukai jalan belum diperbaharui di seluruh negara bagi tempoh 18 Mac sehingga 14 Jun lalu.


“Semua kaunter JPJ di seluruh negara sudah beroperasi sepenuhnya bagi semua jenis urus niaga bermula 18 Mei 2020,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Shaharuddin, sebaik kerajaan melaksanakan PKP 18 Mac lalu, kerajaan memberi pengecualian kepada pengguna jalan raya membaharui lesen memandu dan cukai jalan yang tamat tempoh.

Katanya, pengecualian ini adalah selaras di bawah Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru, orang ramai boleh memandu kenderaan dengan syarat kenderaan tersebut mempunyai perlindungan insurans yang masih sah dan berkuat kuasa. — DayakDaily