Kota Samarahan berpotensi dibangunkan sebagai Kota Siber, kata Nancy

Nancy (tiga dari kiri) pada Perasmian Serba Dinamik Dota 2 Championship Siri 2 2021 dan Pelancaran Kelab Sukan Elektronik Batang Sadong di D-Virtual Park.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 28 Mac: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri yakin Kota Samarahan berpotensi dibangunkan sebagai Kota Siber.

Menurut beliau, ini berikutan peratusan demografi populasi Kota Samarahan yang terdiri daripada para pelajar universiti serta golongan profesional perkhidmatan awam dan swasta.


Katanya, ini menjadikan Kota Samarahan tumpuan pelancong muda untuk mencari ilham baru untuk meluaskan lagi ilmu serta penerokaan yang boleh memberi pengalaman tidak dapat dilupakan.

“Saya melihat Kota Samarahan berpotensi dibangunkan seperti Kota Kreatif Cimahi, iaitu, sebuah provinsi di Jawa Barat, Bandung yang turut dikenali sebagai kota siber.

“Kota Cimahi berkonsepkan kepada kreativiti, inovasi dan teknologi digital sehingga ianya menjadi trend dan gaya hidup anak muda di sana.

“Sehingga mereka dapat melahirkan komuniti muda yang hidup dalam persekitaran serba digital termasuk dalam penjanaan ekonomi,” katanya.

Nancy berkata demikian pada Perasmian Serba Dinamik Dota 2 Championship Siri 2 2021 dan Pelancaran Kelab Sukan Elektronik Batang Sadong di  D-Virtual Park di sini, hari ini.

Berhubung penganjuran acara sukan yang bersifat futuristik itu, beliau yakin ia dapat menarik perhatian pelancong muda dari serata dunia dan pelusuk tempat untuk ke Kota Samarahan.

Jelas Nancy, dalam sektor pelancongan, strategi memperkayakan pengalaman dan kepuasan pelancong turut menjadi salah satu daripada enam teras dalam Dasar Pelancongan Negara 2020-2030.

“Selain itu, penganjuran program berasaskan E-Sukan ini juga menyokong inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara untuk mempersiapkan negara bagi peralihan kepada teknologi 5G kelak,” ujar beliau. — DayakDaily