Aktiviti melihat buaya berpotensi sebagai produk pelancongan di Samarahan

File photo for illustration purposes

SAMARAHAN, 28 Mac: Populasi buaya yang semakin bertambah di beberapa sungai di Samarahan berpotensi menjadi produk pelancongan.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, pengunjung berpeluang melihat buaya di habitatnya seperti di Sungai Meranek.

“Aktiviti melihat buaya mungkin agak menakutkan, tetapi dengan bantuan para pakar yang mengendalikannya, ia amat menarik kepada sesetengah individu.


“Di Samarahan ada beberapa spesis buaya dan populasinya sangat banyak di Batang Sadong, Batang Samarahan khususnya di Sungai Meranek.

“Kita ingin mengambil peluang dengan apa yang kita ada dan saya rasa inilah masa untuk kita melihat kepada aktiviti yang boleh menarik kehadiran pelancong,” kata Nancy.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selesai Perasmian Serba Dinamik Dota 2 Championship di D Virtual Park di sini, hari ini.

Tambah Nancy yang juga MP Batang Sadong, aktiviti melihat buaya merupakan salah satu produk pelancongan yang telah dikenalpasti menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).

Katanya, taklimat berhubung perkara tersebut telah dilakukan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan aktiviti melihat buaya sebagai produk pelancong sudah di dalam perancangan IRSDA.

“Setiap pelancong berbeza minatnya, oleh itu kita mesti menyediakan ekosistem dan memberikan pengalaman kepada para pelancong yang datang,” ujar Nancy. — DayakDaily