Oleh Chris Bishop
KUCHING, Jun 24: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing malam tadi menjelaskan sebab kenapa harga simen di Sarawak sedikit mahal dari di Semenanjung Malaysia.
Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan itu menegaskan ada tiga faktor yang mempengaruhi kenaikan harga simen.
“Pertama, bahan mentah yang diperlukan untuk menghasilkan simen adalah klinker, batu kapur dan gypsum yang dibeli dari negara Thailand dan harga untuk bahan ini ditentukan oleh mereka.
“Kedua, di Sememanjung Malaysia harga simen agak murah kerana di sana banyak persaingan.
“Di Sarawak, kos pengangkutan agak mahal dan ini adalah sebab harga simen mahal di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita setelah selesai program Randau Bersama Pelajar Dayak IPT Sarawak di Kampus Barat, Kolej I-Cats di sini malam tadi.
Masing menjelaskan perkara tersebut sebagai menjawab kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang penyiasatan diperlukan sama ada kenaikan harga simen di Sarawak adalah akibat monopoli oleh pemain industri di negeri ini.
Namun demikian, Masing percaya kerajaan negeri boleh berbincang dengan pengeluar simen di negeri ini iaitu CMS Cement Industries Sdn Bhd untuk mengurangkan harga.
Katanya, harga yang berpatutan tidak akan membebankan rakyat di Sarawak. — DayakDaily