Koperasi dialu-alukan bersama kerajaan bangunkan tanah, Abang Johari

Abang Johari(duduk tengah) merakamkan kenangan bersama ahli-ahli jawatankuasa PERWARIS.

KUCHING, 21 JULAI: Koperasi di negeri ini dialu-alukan bersama kerajaan di dalam usaha membangunkan tanah rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Berucap di Majlis Makan Malam Amal Persatuan Warga Islam Saribas (PERWARIS) malam tadi, beliau berkata koperasi boleh berkongsi dengan kerajaan dalam usaha ini.

“Koperasi boleh berkongsi dengan kerajaan untuk bangunkan tanah yang luas.


“Dengan pengurusan yang bijak dan telus, saya yakin usaha ini akan memberi pulangan kepada pemilik tanah,’ katanya di majlis yang diadakan di Dewan Hikmah Petra Jaya.

Untuk menjayakan hasrat tersebut, Abang Johari mengumumkan suntikan modal RM200,000 kepada koperasi PERWARIS yang turut dilancarkan pada majlis tersebut. 

Sehubungan dengan itu, beliau yang juga penaung PERWARIS menggesa tanah di kawasan Saribas dibangunkan dengan tanaman sagu dan nenas dengan bantuan koperasi. 

Kedua-dua tanaman itu katanya berpotensi menghasilkan pendapatan lumayan dan bersesuaian dengan keadaan tanah di kawasan Saribas.

“Saya nampak ada dua tanaman iaitu sagu dan nenas  boleh memberi pulangan kepada pemilik tanah di kawasan Saribas,’katanya.

Dengan perlaksanaan projek jalan pesisir dan persetujuan kerajaan membina lapangan terbang Spaoh di Betong, Abang Johari yakin aktiviti ekonomi (tanaman) di kawasan terbabit akan berkembang.

“Kerajaan Sarawak telah menyediakan banyak kemudahan infrastruktur di luar bandar termasuk Saribas.

“Usaha kerajaan ini membantu penduduk membangunkan tanah masing-masing.

Dengan adanya lapangan terbang Spaoh, pesawat boleh mendarat dan hasil pertanian boleh dibawa keluar,”katanya.

Projek lapangan terbang Spaoh di Betong menurut Abang Johari akan mula dibina pada tahun hadapan.

Turut hadir ADUN  Saribas Mohammad Razi Sitam, ADUN Beting Maro Razaili Gapor dan Pengerusi PERWARIS Dr Bulhan Budeng.— DayakDaily