This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 23 Sept: Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching 2023 sebulat suara mahukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus menerajui PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Naib Presiden Kanan PBB Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ia merupakan satu daripada lapan usul yang dibentang oleh 26 Cawangan Zon Kuching, iaitu dari N1 (Opar) hingga ke N26 Gedong.
“Kami ahli-ahli PBB memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Yang Dipertua PBB dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk terus menerajui PBB dan GPS bagi memastikan kestabilan politik Sarawak dan negara Malaysia,” kata Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Usul kedua tambah beliau, ahli-ahli PBB memberi kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan PBB dan GPS untuk memimpin Sarawak dalam memastikan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Inter-Government Committee (IGC) 1962 dan Perlembagaan Persekutuan dikembalikan oleh Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan seperti yang dijanjikan.
Usul ketiga, ahli-ahli PBB menyokong langkah strategik parti PBB dan GPS sebagai rakan kongsi setara dalam menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan menuntut agar kerjasama dan penghormatan sewajarnya diberikan oleh pemimpin-pemimpin Persekutuan kepada wakil PBB dan GPS dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak.
Manakala Usul Keempat jelas Fadillah, ahli-ahli PBB bertekad memastikan status dan peranan PBB kekal dominan sebagai parti tulang belakang kepada kepimpinan GPS dan Kerajaan Sarawak.
“Usul Kelima, ahli-ahli PBB mengingatkan parti-parti komponen GPS agar sebarang langkah dan keputusan yang mungkin mengganggu-gugat semangat kebersamaan, persefahaman dan kestabilan GPS dirujuk kepada saluran yang betul. Keputusan yang diambil harus dilakukan secara rundingan dan mendapat persetujuan parti PBB dan parti komponen yang lain.
“Usul Keenam, ahli-ahli PBB menekankan matlamat supaya Sarawak dapat mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 berpandukan dasar dan perancangan Pelan Strategi Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Usul Ketujuh, PBB menyokong sepenuhnya Dasar Ekonomi Baru yang berteras kepada Ekonomi Hijau dan Ekonomi Hidrogen dan inisiatif yang diambil oleh YAB Premier untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak.
“Dan Usul Kelapa, ahli-ahli PBB bertekad untuk memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di Sarawak dapat dipelihara dan diperteguh agar masyarakat dapat hidup aman damai dan harmoni,” ujar Fadillah. — DayakDaily