Kontraktor penyelamat dilantik teruskan pembinaan Loji Rawatan Air Sg Sian Bintangor

Julaihi (dua dari kiri) semasa lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Sg Sian Bintangor. Foto: Ukas

KUCHING, 5 Feb: Kontraktor penyelamat akan dilantik bagi meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air Sg Sian Bintangor yang telah tergendala selama setahun.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, projek itu sepatutnya siap pada 15 April 2022 dalam tempoh 15 bulan.

Namun katanya, kemajuan projek itu hanya mencapai 48 peratus setakat ini, sambil menegaskan tidak dapat menunggu kontraktor yang tidak mampu untuk menyiapkan projek tersebut.


“Sepatutnya siap 15 April 2022. Sekarang sudah masuk 2023. Maknanya hampir setahun projek ini tergendala.

“Itupun kemajuannya setakat 48 peratus sahaja. Kita tidak boleh tunggu kontraktor yang tidak mampu untuk menyiapkan projek ini,” katanya kepada wartawan semasa lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Sg Sian Bintangor hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual. — DayakDaily