Kontraktor diingatkan kekalkan komitmen sepanjang Tempoh Liabiliti Kecacatan — Nanta

Nanta di Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun di Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit. Foto: UKAS
Advertisement

KUCHING, 30 Sep: Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengingatkan pihak kontraktor untuk terus mengekalkan komitmen mereka sepanjang Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP).

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Nanta menegaskan pentingnya pemantauan yang berterusan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Katanya, ia bagi memastikan semua proses pasca penyerahan projek dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Advertisement

“Ini selaras dengan usaha Kerajaan untuk memastikan projek disiapkan dengan sempurna, berkualiti, dan tepat pada masanya,” katanya semasa Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun di Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit pada Isnin.

Nanta menyatakan projek ini merupakan usaha berterusan Kerajaan untuk memastikan infrastruktur keselamatan berada dalam keadaan terbaik.

“Runtuhan cerun telah berlaku pada awal Mac 2020 di kawasan parkir di hadapan kuarters IPD Kapit disebabkan oleh hujan lebat yang berterusan.

“Pelaksanaan projek pembaikan telah diserahkan kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, yang direkabentuk menggunakan kaedah cerucuk besi,” katanya.

Sementara itu, Nanta menyatakan kerja-kerja awalan seperti ukur dan penyiasatan tanah telah dijalankan pada tahun 2022.

Jelasnya, tender untuk projek ini diiklankan secara terbuka pada 31 Julai 2023 dan kerja pembinaan dimulakan oleh kontraktor Pemborong Amirah pada 24 November 2023.

“Pentadbiran kontrak dan pengawasan projek ini dipertanggungjawabkan kepada JKR Bahagian Kapit dan JKR Sarawak.

“Projek ini telah siap sepenuhnya pada tarikh siap asal tanpa lanjutan masa iaitu pada 22 Ogos 2024.

“Setelah permohonan diangkat oleh pihak berkaitan, projek ini diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi pada 12 Ogos 2021,” tambah beliau. — DayakDaily

Advertisement