Oleh Chris Bishop
KOTA SAMARAHAN, 21 April: Tender bagi projek bermasalah Jalan Kuching ke Kota Samarahan telah diberikan kepada kontraktor baharu tahun ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang memberitahu pentenderan semula projek tersebut dibuat memandangkan kontraktor sebelum ini tidak dapat memenuhi prestasi yang ditetapkan.
Katanya, ia telah menjurus kepada kelewatan untuk menyiapkan projek yang sepatutnya siap sepenuhnya pada tahun ini.
“Sepatutnya jalan ini sudah boleh siap pada tahun ini tetapi memandangkan menghadapi isu kontraktor dan masalah teknikal dan sebagainya, ianya telah ditender semula dan telah pun bermula.
“Diharap projek ini akan siap sepenuhnya pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Adun Stakan Datuk Hamzah Brahim hari ini.
Dalam pada itu Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan menolak dakwaan kelewatan projek tersebut disebabkan oleh masalah kewangan.
Sebaliknya, jelas beliau, ianya menghadapi masalah daripada kontraktor yang dilantik sebelum ini.
“Masalah ini tidak melibatkan bajet, sebaliknya isu perlaksanaannya sahaja dan isu teknikal,” kata Rubiah. — DayakDaily