Kong buat laporan polis syaki kuari Stabar masih beroperasi

Kong selepas membuat satu laporan polis berhubung operasi kuari Stabar di Balai Polis Kota Sentosa, Kuching.
Advertisement

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 4 Dis: Operasi kuari Stabar di Batu 7, Kota Sentosa menjadi tanda tanya apabila terdapat aduan daripada penduduk setempat mengatakan terdapat kenderaan berat keluar dari tapak kuari tersebut dengan membawa muatan berat.

Pembantu Khas kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Micheal Kong berkata, berpandukan aduan tersebut beliau mensyaki kuari tersebut masih beroperasi seperti biasa walaupun lesennya tidak diperbaharui selepas ditamatkan pada 29 November lalu.

Advertisement

Justeru katanya, pihaknya membuat satu laporan polis berhubung operasi kuari tersebut agar siasatan dan tindakan berkaitan dapat dilakukan.

“Sudah lima hari sejak lesen kuari tersebut ditamatkan namun bunyi bising daripada jentera berat boleh didengari oleh penduduk di kawasan Jalan Stakan dan Jalan Sungai Tapang.

“Lori dengan muatan berat juga dilihat meninggalkan tapak kuari tersebut,” katanya ketika ditemui selepas membuat satu laporan polis di Balai Polis Kota Sentosa di sini hari ini.

Micheal berkata, situasi berkenaan terlihat seperti operasi kuari tersebut berjalan seperti biasa walaupun pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bahawa kerajaan negeri tidak akan memperbaharui lesen kuari berkenaan selepas ia tamat penghujung November lalu.

Katanya, dia juga turut menulis surat kepada Jabatan Tanah Dan Survei serta Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli bagi memaklumkan berkenaan aktiviti yang disyaki berlaku di kawasan kuari tersebut.

“Pencemaran bunyi dan udara masih berlaku di kawasan tersebut pada ketika ini dan ini disyaki menunjukkan terdapatnya kerja-kerja atau operasi berkaitan sedang berlaku di tapak kuari Stabar itu.

“Merujuk kepada sikap tidak acuh pihak berkuasa negeri berkaitan surat saya sebelum ini, adalah diharapkan dengan laporan yang dibuat hari ini, pihak polis akan melihat dan seterusnya menyiasat dakwaan tersebut,” jelasnya. — DayakDaily

Advertisement