Komuniti maritim di perairan Sarawak digesa berwaspada berikutan cuaca tidak menentu

Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus
Advertisement

KUCHING, 3 Jan: Komuniti maritim di perairan Sarawak perlu sentiasa peka akan keadaan cuaca dan keselamatan sekiranya turun ke laut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus dalam kenyataan media hari ini berkata, ini disebabkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Katanya, cuaca tidak menentu dijangka berterusan sehingga Mac 2022 yang menyebabkan tiupan angin lebih kencang beserta hujan lebat dan berterusan dari arah timur laut.

Advertisement

“Jabatan Metereologi Malaysia memberitahu amaran angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 km sejam dan laut bergelora dengan ketinggian ombak 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Sarawak (kategori pertama) dan merbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

“Manakala, untuk sektor perkapalan pula, angin kencang timur laut melebihi 60km sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter (kategori ketiga) dijangka berlaku di kawasan perairan laut dalam dengan merbahaya kepada semua aktiviti pantai, perkapalan, menangkap ikan termasuk pekerja di pelantar minyak dan perkhidmatan feri,” katanya.

Sehubungan itu komuniti maritim yang berhasrat ke laut agar membatalkannya pada ketika ini.

Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut ujar Zin, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dan kapal dalam keadaan selamat memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.

“Manakala, nelayan bot kecil disarankan tidak ke laut kerana ianya amat merbahaya dan boleh menyebabkan kejadian ancaman nyawa dan juga harta benda,” ujar beliau.

Sementara itu, Maritim Malaysia menyeru agar komuniti maritim membawa bersama peranti pengesan peribadi atau Personal Located Beacon (PLB) supaya membantu mempercepatkan bantuan di laut.

Jika berlaku sebarang kecemasan di laut atau menghubungi terus talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Sarawak di talian 082-432544/082-432006 yang beroperasi 24 jam. ― DayakDaily

Advertisement