KUCHING, 6 Nov: Komuniti India telah sekian lama menjadi penyumbang kepada pembangunan Bandaraya Kuching, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng.
Menurut beliau, komitmen berterusan yang diberikan oleh komuniti India dalam pelbagai jabatan dan sektor telah mencorak Kuching sebagai sebuah bandaraya vibran pada masa ini.
“Kerja keras, komitmen serta kesungguhan mereka telah mengangkat ekonomi negeri.
“Komuniti India juga membantu menyediakan pelbagai perkhidmatan demi kebaikan keseluruhan rakyat,” kata Wee di Majlis Ramah Tamah Deepavali MBKS 2024 hari ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak mahukan setiap komuniti di negeri ini untuk terlibat sama di dalam program pembangunan.
Melalui inisiatif dan polisi kata Wee, kerajaan negeri komited untuk mengangkat tahap sosial setiap rakyat.
“Ini menjadikan Sarawak sebagai negeri contoh kepada kemakmuran dan perpaduan,” katanya.
Di majlis tersebut, seramai 10 orang pegawai MBKS dari komuniti India telah dirai dan menerima ‘ang pao’ daripada Pengerusi Pengelola Dato Cr Shankar Ram. — DayakDaily