ASAJAYA, 22 Jan: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus mendampingi golongan belia di kawasan masing-masing.
Dengan pelaksanaan Undi 18 mulai Januari 2022 ini katanya, golongan belia yang berumur 18, 19 dan 20 tahun ini secara otomatik layak mengundi.
“Keadaan sudah berubah, kita tidak tahu bagaimana pendirian golongan belia ini.
“Sebab itu komponen parti dalam GPS baiknya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Progresif Demokratik (PDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) harus mendampingi mereka,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian pada Majlis Kesyukuran Dan Apresiasi Kemenangan Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) Asajaya di Kompleks Sukan Asajaya hari ini.
Tambah beliau yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), golongan belia ini tidak seharusnya disisih dan semestinya dibawa bersama di dalam arus perjuangan GPS.
Jika tidak ujar beliau, kemungkinan pihak pembangkang akan mengambil peluang ini dan memperoleh sokongan mereka yang seterusnya membawa masalah kepada GPS.
“Sebagai contoh DUN Asajaya sahaja, jumlah pengundi meningkat sebanyak 5,700 dengan pelaksanaan undi 18
“Pada masa ini kita (DUN Asajaya) hanya ada 12, 400 pengundi dan kini meningkat kepada 18,000,” ujar beliau yang juga ADUN Asajaya.
Tambah Abdul Karim lagi, kemenangan besar pada Pilihanraya Negeri (PRN) lepas tidak menjamin GPS dapat mengulanginya semula pada PRU15 nanti.
Justeru beliau menyeru agar GPS berhati-hati dan terus mengutamakan kehendak golongan belia ini. — DayakDaily