Abdul Karim ramal PRU15 diadakan tahun ini

Abdul Karim (tengah) pada sidang media di Kompleks Sukan Asajaya.

Oleh Chris Bishop

ASAJAYA, 22 Jan: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ramal Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) bakal diadakan pada tahun 2022 ini.

“Saya menjangkakan daripada pengalaman yang lepas, PRU kebiasaannya diadakan sebelum tamat tempoh penggal parlimen.


“Dan saya percaya kalau keadaan sudah cukup baik bagi parti-parti memerintah, kemungkinan besar diadakan tahun ini.

“Kebiasaannya kerajaan sedia ada tidak akan menunggu sehingga tamat tempoh,” katanya di sidang media pada Majlis Kesyukuran Dan Apresiasi Kemenangan Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) Asajaya di Kompleks Sukan Asajaya hari ini.

Tambah Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, kali terakhir PRU diadakan adalah pada 2018 dan PRU seterusnya (PRU15) mesti diadakan sebelum berakhir 2023.

Terdahulu di dalam ucapannya, Abdul Karim meramalkan PRU15 bakal diadakan pada bulan Mac atau Jun tahun ini.

Ramalan beliau juga berdasarkan spekulasi berhubung PRN Johor hampir pasti diadakan apabila Dewan Undangan Negeri dikatakan akan dibubar pada Ahad ini.

“Terdahulu Melaka dan Sarawak telah pun mengadakan PRN dan sekiranya satu-satu negeri seperti Johor mengadakan pilihanraya, dari segi kosnya agak tinggi.

“Kemungkinan Perdana Menteri merasakan masanya sudah tiba untuk diadakan PRU sekaligus. Jika DUN boleh dibubarkan, saya percaya parlimen pun boleh,” ujar Abdul Karim lagi.

Berhubung perkara yang sama, beliau yang juga ADUN Asajaya berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menghadapi sebarang masalah sekiranya PRU15 diadakan di dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, jentera yang telah membawa kemenangan besar kepada GPS pada PRN12 lalu sedia diaktifkan bila-bila masa.

“Saya percaya jentera ini juga akan membawa kemenangan besar kepada GPS pada PRU akan datang,” katanya. — DayakDaily