2 pemuda disyaki lempar batu ke arah kereta ditahan polis

Salah seorang suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 22 Jan: Dua sahabat ditahan pihak polis petang semalam selepas ‘aksi’ mereka melempar batu bata ke arah sebuah kereta yang di parkir di sebuah rumah di Desa Senadin terakam oleh kamera litar tertutup mangsa.

Tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri susulan dimaklumkan kejadian.


Suspek berusia antara 26 dan awal 30-an itu ditangkap di dua lokasi berasingan bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah Miri mengesahkan tangkapan kedua dua suspek itu.

Polis turut merampas sebuah motorsikal dipercayai telah digunakan dalam kejadian yang disedari pada awal pagi Jan 17 lalu.

Dalam kejadian itu, pemilik kenderaan tersebut tergamam apabila terlihat cermin depan keretanya pecah awal pagi Jan 17.

Mangsa juga menemui sebuah batu bata di lokasi kejadian.

Kerugian dianggarkan mencecah RM1,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. — DayakDaily