Kompleks SLTA di Kuching bakal jadi lokasi acara tenis Sukan Sea 2027

Berdiri lima dari kanan: Henry, Xing, Liew dan Tiang bersama wakil-wakil pasukan China dan Malaysia.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 Julai: Acara tenis bagi Sukan Sea 2027 bakal diadakan di Kompleks Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) di Kuching.

Presiden SLTA Dato Patrick Liew berkata, ia berikutan Sarawak telah dipelawa sebagai penganjur bersama temasya sukan tersebut bersama Kuala Lumpur.

Advertisement

Menurut Liew, Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) Mirzan Mahathir juga telah bersetuju memilih Kuching sebagai ‘venue’ acara tenis.

“Mirzan baru-baru ini berbual dengan saya menerusi panggilan telefon, beliau secara lisan memilih Kuching (Kompleks SLTA) sebagai ‘venue’ acara tenis Sukan Sea 2027.

“Ya sudah tentu SLTA bersedia menganjurkan acara ini jika diberi peluang,” kata Patrick ketika ditemui di Pertandingan Persahabatan Tenis Sempena 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Kompleks SLTA semalam.

Tambah Patrick, permukaan gelanggang tenis di Kompleks SLTA baru-baru ini sudah siap dicat semula mengikut piawai antarabangsa.

Justeru katanya, ia adalah sesuai bagi penganjuran peringkat antarabangsa termasuk Sukan Sea 2027.

“Acara tenis bagi Sukan Malaysia pada Ogos ini juga diadakan di sini, kemudiannya Sukan Sea 2027.

“Saya boleh katakan bahawa kemudahan lampu dan permukaan gelanggang di sini adalah yang terbaik di Malaysia.

“Kompleks SLTA telah diiktiraf oleh International Tennis Federation (ITF) dan Asian Tennis Federation (ATF) di mana banyak kejohanan peringkat umur dunia diadakan di sini,” jelas Liew.

Kompleks SLTA memiliki 13 gelanggang dimana 11 adalah untuk pertandingan manakala dua gelanggang untuk sesi memanas badan.

Sementara itu, pertandingan persahabatan semalam telah disertai Konsul General China di Kuching H.E Xing Weiping, Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Micheal Tiang. — DayakDaily

Advertisement