Kompaun keseluruhan bernilai RM1.8 juta dikeluarkan sepanjang Op Covid-19 di Kuching

Gambar komposit menunjukkan sekitar operasi Op Covid-19.

KUCHING, 13 Jan: Sebanyak 3,199 kompaun bernilai RM1.8 juta dikeluarkan oleh pasukan pemantau pematuhan Op-Covid Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,092 kompaun dikenakan terhadap individu manakala 107 kompaun terhadap premis.

Katanya, jumlah nilai kompaun individu adalah sebanyak RM782,157 dan jumlah nilai kompaun premis sebanyak RM1.06 juta.


“Kesemua individu yang dikompaun terdiri daripada seramai 2,303 lelaki dan 789 orang wanita.

“Lima kesalahan paling kerap dilakukan ialah gagal daftar masuk oleh pemilik premis, pekerja atau pelanggan melalui aplikasi Mysejahtera atau buku.

“Selain itu, terdapat juga pemilik premis dikompaun kerana gagal memaparkan jumlah maksimum pelanggan dibenarkan masuk dalam satu-satu masa di samping tidak menyediakan buku daftar masuk atau Kod QR MySejahtera serta tidak menggunakan pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau dalam pada itu mengingatkan semua pihak untuk terus mematuhi Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) atau garis panduan yang ditetapkan.

“Pihak polis tidak akan berkompromi kepada pihak yang dikenal pasti melanggar SOP,” tegasnya. — DayakDaily