Komitmen penjawat awam Sarawak penting capai kemajuan ekonomi

Abang Johari memberi ucapan di majlis penutupan program itu. Foto: Ukas
Advertisement

KUCHING, 26 Feb: Komitmen penjawat awam dalam melaksanakan tugas penting bagi kemajuan ekonomi, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Abang Johari berkata ia sekaligus menjamin kesejahteraan rakyat tempatan dan kedaulatan Sarawak.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menterjemah segala konsep ekonomi dan kewangan untuk menjadi dasar yang boleh memberi manfaat kepada rakyat Sarawak keseluruhannya.

Advertisement

“Tidak ada gunanya sesebuah negeri itu mencapai status ‘Negeri Maju Berpendapatan Tinggi’ tetapi rakyatnya masih dibelenggu kemiskinan, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penutupan Program ‘Team Building’ Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Justeru tambah Abang Johari, adalah penting untuk Sarawak merangka strategi pembangunan ekonomi yang menjurus kepada agihan kekayaan yang adil.

Katanya, hasilnya akan dinikmati oleh seluruh rakyat dan segenap lapisan masyarakat.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata bagi mencapai hasrat ini, penjawat awam perlu bersedia menerima dan mencetuskan idea-idea baru, bersikap proaktif, menerapkan inovasi dan sentiasa peka dengan kemahiran teknologi terkini. — DayakDaily

Advertisement