Lelaki disyaki pengedar dadah ditangkap bersama senapang, peluru dan dadah di Lawas

Senapang dan peluru yang dirampas daripada suspek.

LAWAS, 26 Feb: Seorang lelaki ditahan bersama selaras senapang patah serta 10 butir peluru dan dadah dalam satu operasi di Kampung Berjumpa Jalan Sundar di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Sila Kadong berkata pemeriksaan pada lelaki berusia 40 tahun itu dibuat sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas sekitar jam 12 tengah hari.

Katanya, suspek ditahan di dalam sebuah kenderaan di simpang jalan masuk ke sebuah rumah tidak bernombor.


“Hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas pelbagai keratan tiub straw yang berisi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 60.9 gram bernilai RM6,090.

“Turut dijumpai di dalam kenderaan tersebut ialah satu laras senapang patah dan 10 butir peluru,” katanya dalam satu kenyataan media.

Hasil ujian saringan air kencing awal yang dilakukan didapati suspek positif dadah jenis methamphetamine /amphetamine.

“Semakan kes lampau mendapati suspek turut mempunyai kes lampau berkaitan dadah,” katanya.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960. — DayakDaily