KUCHING, 26 Feb: Sarawak menerusi kerjasama bersama sebuah syarikat di Amerika Syarikat akan membawa pulang koleksi tulang dari Gua Niah yang dianggarkan berusia lebih 40,000 tahun minggu hadapan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tulang-tulang era neolitik ini dibawa ke Amerika Syarikat pada tahun 1967 untuk tujuan penyelidikan dan kajian lanjutan.
“Ia ditemui pada 1950-an oleh pasukan penyelidik yang diketuai oleh Kurator Muzium Sarawak pada ketika itu, Tom Harrisson.
“Tulang ini kemudian dibawa ke University of Nevada, Las Vegas oleh Shaleigh dan Richard Brooks, sebelum dipindahkan ke University of Florida untuk satu lagi kajian di bawah Prof Dr John Krigbaum pada tahun 2017.
”Justeru, sekarang masanya untuk kita mengambil balik tulang ini setelah penyelidikan selesai,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian di majlis menandatangani kerjasama dalam bidang pemuziuman dan arkeologi dengan University Florida, Amerika Syarikat pada Selasa lepas.
Pada majlis itu, University Florida diwakili Presidennya Kent Fuchs dan Dekan Pusat Antarabangsa, Prof Leonardo Villalon.
Turut hadir, Setiausaha Tetap kementerian, Hii Chang Kee dan Pemangku Pengarah Muzium Sarawak, Tazudin Mohtar.
Abdul Karim juga memberitahu satu majlis sambutan kepulangan tulang prasejarah ini akan diadakan pada minggu hadapan, diikuti penganjuran satu seminar khas pada 5 Mac depan di Kuching.
“Koleksi tulang ini akan menjadi antara bahan pameran utama di Kompleks Muzium Sarawak yang baharu, yang bakal dirasmikan pada penghujung tahun ini,” katanya.
Mengulas berhubung kerjasama tersebut, beliau menjelaskan universiti tersebut menawarkan persekitaran pembelajaran dan penyelidikan yang menarik, sambil memiliki teknologi masa depan.
“Ia merupakan antara tujuh universiti terkemuka di Amerika Syarikat.
“Menerusi kerjasama ini, kita akan menghantar pegawai-pegawai dan kakitangan Muzium Sarawak serta penyelidik dari universiti tempatan di Sarawak untuk menghadiri kursus pendek dengan fakulti-fakulti yang ada di sini.
“Pada masa yang sama, kita turut meraikan kehadiran penyelidik-penyelidik mereka untuk melakukan kajian di Sarawak,” ujar Abdul Karim lagi. —DayakDaily.