KM: Sarawak akan terus menghalang kemasukan individu dari Semenanjung yang berfahaman pelampau atau extremis

Abang Johari (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil KRT yang menghadiri Program Apresiasi Rukun Tetangga 2018, di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di Demak Laut.

KUCHING, Feb 13: Kerajaan negeri memberi jaminan akan terus mengunakan kuasa imigresen negeri ini bagi menghalang individu dari Semenanjung yang berfahaman pelampau atau extremis dari masuki negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pihak kerajaan negeri akan meneruskan dasar menghalang kemasukan individu tersebut yang dimulakan kerajaan negeri sejak dibawah pimpinan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

“Kalau orang Semenanjung hendak membawa fahaman pelampau mereka ke negeri ini, pihak Imigresen kita akan memaklumkan mereka tidak dibenarkan masuk ke negeri ini. Saya akan mengunakan kuasa saya sebagai Ketua Menteri bagi menghalang kemasukan orang yang berfahaman pelampau terbabit,” katanya ketika merasmikan Program Apresiasi Rukun Tetangga 2018, di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di Demak Laut, di sini, semalam.


Abang Johari berkata kerajaan negeri tidak mahu individu berfahaman pelampau memasuki negeri ini kerana bimbang mereka akan menyebarkan fahaman itu yang boleh merosakkan perpaduan erat masyarakat tempatan yang berbilang kaum dan agama.

“Saya lihat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kita ada kaum Cina, Bidayuh, Iban dan Orang Ulu pun dah ada kerana mereka sama tinggal di bandaraya Kuching ini; jadi ini satu keadaan begitu baik dimana masyarakat kita berbilang kaum dan agama dan mereka dapat hidup tenteram. Sebab itulah Sarawak tidak mahu kemasukan orang yang berpandangan pelampau,” katanya.

Tambah beliau, disebabkan seorang atau dua orang yang berfahaman pelampau di Semenanjung telah timbul banyak isu perkauman dan keagamaan dengan yang terbaru ialah mengenai kedai dobi yang tidak boleh dikongsikan pengunaannya antara umat Islam dan bukan Islam.

“Dalam masyarakat kita khasnya di pertengahan Sarawak termasuk kaum Melanau ada satu keluarga campuran penganut Islam dan Kristian. Adakan mereka perlu mencuci pakaian satu keluarga dua kali? Itu akan kelihatan pelik. Ini sebabnya kita tidak mahu fahaman pelampau,” katanya.

Abang Johari (tujuh dari kiri) bersama wakil rakyat dan wakil KRT yang menghadiri Program Apresiasi Rukun Tetangga 2018, di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di Demak Laut.

Beliau berkata penduduk negeri ini mesti mempertahankan budaya hidup mereka yang selama ini bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama supaya dapat terus hidup aman damai.

Disamping itu, Abang Johari juga berterima kasih kepada KRT di negeri ini yang menubuhkan pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi ahli KRT meronda kawasan kampung dan taman perumahan di negeri ini secara sukarela.

“Dengan semangat rondaan sukarela ini maka kita dapat melihat keadaan jiran di sebelah kita dan memastikan kawasan kediaman tenteram dan aman serta mendapat pahala sebagai ganjaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak, Dirwarna Azool berkata keseluruhannya terdapat 977 KRT di seluruh negeri ini dengan terbanyak di bandaraya Kuching yang ada 205 KRT manakala di Samarahan ada 90 KRT dan Serian ada 18 KRT.

“Setakat ini kita ada menubuhkan pasukan SRS di 496 KRT di seluruh negeri ini bagi menjamin keselamatan kawasan kediaman penduduk dan kajian rasa selamat di kawasan KRT terbabit mendapati lebih 80 peratus penduduknya merasa selesa dengan keselamatan mereka,” katanya.

Beliau berkata majlis program apresiasi terbabit telah menghimpunkan jawatankuasa KRT di Kuching, Samarahan dan Serian. Selepas ini pihaknya bercadang mengadakan majlis sama bagi KRT di kawasan tengah dan utara negeri ini yang juga bakal dihadiri Ketua Menteri. ā€” DayakDaily