Peruntukan RM10.5 juta untuk memperbaiki kerosakan sekolah terjejas banjir — Abang Johari

Abang Johari (dua dari kiri) menyerahkan kit makanan permulaan kepada mangsa banjir di Dewan Sukan Tatau.

BINTULU, Feb 13: Peruntukan segera sebanyak RM10.5 juta telah diluluskan oleh kerajaan negeri bagi membaik pulih kerosakan yang dihadapi 173 buah sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk membaik pulih dua buah klinik kesihatan di Nanga Tau dan Nanga Sanjan di Tatau.

Menurut beliau, peruntukan segera untuk pembaikan semua sekolah terjejas amat ditekankan memandangkan kerajaan tidak mahu sesi pembelajaran terganggu lama akibat banjir itu.


“Saya memuji kecekapan jawatankuasa pengurusan bencana negeri ini kerana bertindak pantas memberi arahan kepada jabatan serta agensi berkaitan untuk memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat.

“Setakat ini, kita belum menerima sebarang laporan kemalangan jiwa yang berlaku akibat bencana itu,” katanya di Dewan Sukan Tatau, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, beliau telah mengarahkan Jabatan Tanah dan Survei dan Pejabat Residen bagi membina lima buah sekolah yang telah dikenalpasti mudah dinaiki banjir di tempat baru.

“Kedua-dua pihak terbabit telah diarahkan untuk mencari tapak kawasan yang lebih tinggi dan selamat untuk membina semula lima buah sekolah terbabit,” ujarnya. — DayakDaily