‘KM masih kekal bertanggungjawab terhadap hal ehwal umat Islam di Sarawak’

Dr Abdul Rahman (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian antara Dayang Sofia (tiga dari kiri) dengan Dr Ab Halim (dua dari kanan).

KUCHING, Mac 19: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg masih kekal sebagai menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal umat Islam di Sarawak dan tidak ada menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada menteri lain.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi berkata demikian dan menafikan yang beliau telah dilantik sebagai menteri dalam kabinet negeri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal umat Islam di negeri ini.

“Ketua Menteri sebelum ini hanya melantik saya sebagai pembantunya bagi menyelia kegiatan hal ehwal Islam di negeri ini termasuk agensi-agensi Islam dan masih Ketua Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal umat Islam di Sarawak,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Antara Kolej SIDMA Sarawak dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), di sini, hari ini.


Dr Abdul Rahman berkata demikian mengulas mengenai ucapannya ketika merasmikan majlis menandatangani memorandum perjanjian terbabit yang menyatakan telah dilantik Ketua Menteri bagi membantunya dalam perkara berkaitan agama Islam di negeri ini.

“Saya juga hanya membantu Ketua Menteri menyelia agensi-agensi Islam di negeri ini sahaja termasuklah Tabung Baitulmal Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Pusat Islam Antarabangsa dan Mahkamah Syariah,” katanya.

Menurutnya perlantikannya sebagai pembantu Ketua Menteri bagi menyelia kegiatan hal ehwal Islam di negeri ini telah dilakukan sekitar dua atau tiga bulan lepas dan juga akan membolehkan beliau menjadi wakil kepada Ketua Menteri bagi menghadiri program berkaitan Islam.

“Itu sahaja lah tambahan tugas saya (dalam kabinet negeri) selain memikul tanggungjawab sebagi Menteri Muda Elektrik Luar Bandar di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Kolej SIDMA Sarawak dan KUIS itu adalah bagi membolehkan program diploma berbentuk Islam KUIS ditawarkan kedua-dua pihak secara kerjasama di negeri ini.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani Ketua Eksekutif Kolej SIDMA Sarawak Dayang Sofia Abang Bohan dengan Rektor KUIS Professor Dato Dr Ab Halim Tamuri dan telah disaksikan Dr Abdul Rahman, Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merangkap Ahli Lembaga KUIS Professor Dato Dr Mujaini Tarimin dan Pengerusi Kumpulan Kolej SIDMA Sarawak dan Sabah Dr Morni Kambrie, Pengerusi Kolej SIDMA Sarawak Marzuki Umi, dan Timbalan Rektor KUIS Dr Mokmin Basri.

Antara program pengajian terbabit yang akan ditawarkan adalah Diploma Pengajian Islam (Bahasa Arab), Diploma Pengajian Islam (Al-Quran dan As-Sunnah), Diploma Pengajian Islam (Akidah dan Pemikiran Islam) dan Diploma Perguruan (Pendidikan Islam). — DayakDaily