KM: Kontraktor akan terus terpelihara jika BN memerintah

Abang Johari bersalaman dengan ahli-ahli PKMM Sarawak sempena majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di Kuching.
Advertisement

KUCHING, April 22: Kontraktor di Sarawak dijamin tidak akan ketandusan projek selagi Barisan Nasional (BN) memerintah khususnya di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Jelas beliau, ia kerana kerajaan negeri telah merancang serta melaksanakan begitu banyak projek pembangunan untuk rakyat yang secara tidak langsung turut memanfaatkan kontraktor.

Katanya, antaranya adalah memperuntukkan RM5 juta setahun kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk melaksanakan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan masing-masing.

Advertisement

ā€œBN ada 72 konstituensi di Sarawak, maka ini bermakna kerajaan negeri mengeluarkan sebanyak RM360 juta setahun untuk para ADUN melaksanakan projek RTP mereka seperti membaik pulih jalan raya secara kecil-kecilan, menaik taraf sekolah dan sebagainya.

ā€œJadi, ini adalah salah satu peluang kerja untuk kontraktor juga dan setiap kontraktor Bumiputera harus memanfaatkannya dengan baik,ā€ katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sarawak, di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda Perhubungan Korporat Abdullah Saidol, Presiden PKMM Dato Mokhtar Samad dan Yang Dipertua PKMM Sarawak Dato Ismail Suut.

Selain itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri juga telah merancang serta melaksanakan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi seperti Lebuhraya Pan Borneo dan Transit Aliran Ringan (LRT).

Katanya bagi projek LRT misalnya, ia dijangka menelan kos antara RM7 hingga RM8 bilion dan ini sudah pasti bakal memberi manfaat besar kepada kontraktor di negeri ini.

Justeru, beliau menyeru khususnya kontraktor Bumiputera di negeri ini supaya merebut projek-projek yang terhasil daripada pembinaan LRT tersebut.

ā€œApabila kita membangunkan LRT, sudah pasti akan ada projek membuat laluannya, jambatan termasuk stesen dan sebagainya.

ā€œIni sudah tentu memberi peluang kerja kepada kontraktor dan sebab itu, kontraktor Bumiputera khasnya harus bersedia dan melengkapkan syarikat masing-masing dengan kepakaran berkaitan terutamanya dari segi teknologi digital,ā€ katanya. ā€” DayakDaily

Advertisement