Tragedi pulang kampung, seorang lelaki maut, seorang parah

Beginilah keadaan Toyota Harrier selepas terlibat dalam kemalangan kendiri.

SERIAN, April 22: Perjalanan pulang dua lelaki ke kampung berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut, manakala seorang lagi parah apabila Toyota Harrier dinaiki terlibat dalam kemalangan kendiri di KM96, Jalan Kuching-Sri Aman berdekatan Kampung Ensebang Kuari di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu mengakibatkan mangsa, Ennie Lindang, 69, disahkan meninggal dunia, manakala Mini Ringkai, 45, cedera parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati sebelum nahas itu, Toyota Harrier yang dipandu oleh Ennie dikatakan datang dari arah Sri Aman menuju ke Serian di sini.


Namun, ujarnya, malang menimpa mangsa apabila tiba-tiba kenderaan yang dinaiki mereka terbabas ke bahu jalan.

“Insiden itu mengakibatkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah.

“Ennie disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Mini pula cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson menambah, tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas jalan raya berkenaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. — DayakDaily