KKM: Semua katil dalam wad ICU hospital Covid-19 hampir penuh

Keadaan di wad ICU Hospital Kajang dengan katil mencapai kapasiti maksimum.

KUCHING, 15 Mei: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa semua katil dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang ada di hospital Covid-19 hampir penuh.

Menerusi hantaran ke Facebook rasminya, KKM berkata keadaan sudah sesak dan mencapai kapasiti maksimum.

“Inilah keadaan sebenar dalam wad ICU pada ketika ini.


“Hari ini merekodkan 34 kematian akibat Covid-19. Gambar dari Hospital Kajang menunjukkan kesemua katil yang berada di Hospital Kajang sudah pun penuh.

“Begitu juga di Hospital Ampang, Selayang, Sungai Buloh dan hospital-hospital Covid-19 yang lain. Keadaan sudah sesak,” kata KKM.

Bagaimanapun begitu tambah KKM, sistem kesihatan di negara belum lagi sampai ke tahap perlu memilih siapa yang perlu berada di atas katil ICU untuk dirawat.

Katanya, petugas barisan hadapan yang merawat pesakit pun tidak ke mana-mana, mereka tetap ada di wad ICU untuk merawat pesakit yang kritikal.

“Demi menyelamatkan nyawa, semua petugas barisan hadapan meneruskan tugas harian mereka seperti biasa pada ketika Hari Raya pertama dan kedua Aidilfitri ini.

“Cuma satu sahaja yang dipinta daripada seluruh rakyat Malaysia, patuhlah pada peraturan yang telah ditetapkan.

“Jaga diri, jaga keluarga kita. Jangan biarkan keluarga kita menjadi salah seorang yang berada di wad ICU ini,” kata KKM. — DayakDaily