KKM: Rabies ragut satu lagi nyawa di Sarawak

Dr Noor Hisham Abdullah. (gambar fail)

KUCHING, 9 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) ingin memaklumkan 1 kes kematian akibat jangkitan virus rabies di Jalan Penrissen,Kuching.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes merupakan seorang lelaki berumur 51 tahun yang disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal pada 4 September 2020.

“Beliau dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 26 Ogos 2020 kerana mengalami sakit belakang menyebabkan kesukaran untuk bergerak selama 3 hari sebelum dimasukkan ke wad.


“Beliau telah mengalami muntah dan serangan sawan sebelum dimasukkan ke hospital.

“Kes ini telah meninggal dunia pada 8 September 2020 jam 6.29 petang dengan diagnosa rabies encephalitis.

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, siasatan awal belum dapat mengesahkan sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku padanya.

Namun katanya, mangsa ada memelihara seekor kucing dan seekor anjing.

“Anjing peliharaannya ini belum mendapat vaksin anti rabies tetapi juga tidak dilepaskan dari kawasan rumah.

“Sehingga hari ini, status kedua-dua haiwan ini adalah baik dan tiada perubahan tingkahlaku,” ujar beliau.

Menurut Dr Noor Hisham, dengan pengesahan kes rabies baharu ini, jumlah kes bagi tahun 2020 adalah tiga 3 dan ketiga-tiga kes telah meninggal dunia.

“Manakala, jumlah kes bagi keseluruhan wabak rabies di Sarawak yang telah diisytiharkan pada 1 Julai 2017 sehingga kini adalah 25 termasuk 24 kematian,” kata Dr Noor Hisham.—DayakDaily