Oleh Jasper Waltze
KUCHING, 13 Okt: Sebanyak 45,000 kit Reading Seeds yang setiap satu bernilai hampir RM200 disasarkan diedarkan Pustaka Negeri Sarawak (PNS) secara percuma kepada bayi yang lahir di negeri ini dari tahun hadapan sehingga 2025.
Menteri Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah mendedahkan kit tersebut mengandungi buku dan bahan bacaan serta pembelajaran awal dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia yang sesuai bagi bayi berusia tiga tahun ke bawah.
“Kita akan mengedarkan sebanyak 8,000 kit terbabit bagi tahun ini dan kita mensasarkan bagi lima tahun akan datang (2021-2025), kita menagihkan sebanyak 45,000 kit itu,”katanya ketika mengadakan sidang media Program Reading Seeds di PNS, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Fatimah Abdullah berkata bagi mencapai sasaran itu, PNS memohon bekerjasama dengan kementerian terbabit bagi mengedarkan kit itu kepada bayi penerima Endowment Fund Sarawak (EFS) dan ibu penerima Bantuan Ibu Bersalin (BIS) dari kerajaan Sarawak.
“Bagi kami (kementerian), tidak ada masalah bekerjasama dengan PNS, sebab kami boleh masukkan juga pemberian kit ini berserta buku Panduan Asuhan Kanak-Kanak Di Rumah kepada penerima EFS dan BIS,”katanya.
Beliau berkata setakat ini 82 peratus bayi yang lahir di Sarawak sudah memohon mendapatkan EFS dan merupakan sambutan yang cukup baik serta berharap lebih ramai ibu mengandung di negeri ini dapat memohon mendapatkan BIS.
Katanya PNS pula memulakan projek pengedaran kit Reading Seeds pada 2017 dan pernah mengedarkannya kepada ibu bersalin di hospital negeri ini tetapi dihentikan kerana sambutannya tidak mengalakkan dan perlu kaedah pengedaran lebih strategik.
Selain itu, Fatimah mendedahkan Sarawak menjadi negeri perintis projek kit Reading Seeds di negara ini bagi mempupuk budaya suka membaca dikalangan kanak-kanak seawal mungkin dan tahun lepas Perpustakaan Negara Malaysia mula menjalankan projek itu seluruh negara.—DayakDaily