Kilat Boy tidak gentar cabaran Artid Bamrungauea di Bangkok

Daeloniel dijulang kem pasukannya selepas menewaskan Oky Akhbar dari Indonesia pada Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2023 di Sri Aman.
Advertisement

KUCHING, 27 Sept: Kilat Boy – Daeloniel Mcdelon Bong tidak gentar menentang Artid Bamrungauea dalam kategori Bantamweight bagi Asian Boxing Federation (ABF) dijadual berlangsung pada 26 Okt di Bangkok, Thailand.

Malah Petinju profesional kelahiran Sri Aman ini bertekad menghadiahkan Tali Pinggang Tinju Profesional kejuaraan Asia kepada Sarawak.

Pertembungan dengan Artid adalah cabaran sukar dengan petinju tuan rumah itu memiliki rekod 28 kemenangan berbanding 32 kekalahan dalam perlawanan profesional.

Advertisement

Namun, ia sedikit pun tidak menggentarkan Kilat Boy, 24 tahun, yang telah membuat persiapan rapi dalam misinya memburu kejuaraan berprestij tersebut.

Menurut Daeloniel, beliau telah memulakan kem latihannya bermula pada minggu ini sebanyak dua hingga tiga sesi setiap hari dari Isnin hingga Sabtu.

“Tahap keyakinan saya berada pada tahap 80 hingga 90 peratus memandangkan lawan saya mempunyai rekod dan pengalaman yang bagus dan juga bekas pencabar juara dunia.

“Semestinya saya akan buat yang terbaik untuk mendapatkan gelaran ABF ini.

“Memang ada peluang untuk membawa pulang tali pinggang ABF tetapi saya tetap tidak mahu terlalu yakin dan sentiasa bersiap sedia dengan persiapan yang terbaik dan fokus menuju perlawanan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Perlawanan kedua petinju itu asalnya berlangsung di Dubai namun diubah ke Bangkok, Thailand.

Untuk rekod, Daeloniel memenangi perlawanan pro pertamanya dengan menundukkan Oky Akhbar dari Indonesia pada Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2023 Edisi Ke-2 di Sri Aman, Ogos lepas.

Kemenangan tersebut membolehkan beliau menempah slot dalam Perlawanan ABF tersebut.

Jika menang, Daeloniel akan menjadi petinju pertama dari Sarawak dan petinju kedua dari Malaysia memenangi tali pinggang berprestij tersebut selepas Muhd Farkhan Haron dari Johor yang dilakar sebelum ini. — DayakDaily

Advertisement